DAULAT TUANKU

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat

Menjunjung kasih ke bawah duli Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Buat para syuhada' yang telah gugur di medan perang demi menegakkan agama Islam. Al-fatihah.

Seiring dengan ulang tahun keputeraan rasmi baginda Yang Di-Pertuan Agong, selaku rakyat kita mestilah menghormati sistem raja berpelembagaan yang diamalkan. Isu yang membabitkan salah seorang generasi Y yang menghina titah ucapan sultan di laman sosial merupakan perbuatan yang sangat biadap bagi seorang warganegara Malaysia dan tidak dapat dimaafkan.

Soal kedaulatan raja sebagai ketua agama Islam tidak boleh dipandang remeh. Cacian yang ditulis seolah-olah mempermainkan sistem raja yang termaktub dalam undang-undang negara. Skop ketua agama Islam perlu dilihat dengan lebih luas dan terbuka. Skop sultan bukan hanya tertumpu untuk orang Melayu sahaja tetapi seluruh rakyat yang berada di bawah naungannya. Ini terbukti apabila dilihat daripada makna yang dibawa oleh Islam itu sendiri yang bermaksud selamat dan sejahtera. Bukti jelas ini memaparkan peranan sultan sebagai ketua agama bagi menjaga kepentingan rakyat, agama, kebajikan serta negara.

Tepuk dada, bisik pada hati. Relakah kita menggadaikan sistem beraja yang diamalkan oleh nenek moyang kita sejak berkurun-lamanya? Relakah kita menrepublikkan tanah air persis China dan India? Pandanglah ke sebelah negara jiran yang sangat mengagungkan rajanya. Bagaimana kita? Jawab dalam hati. Tidak tergamak rasanya hendak menulis R******* Malaysia. Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir. Pertahankanlah demi negara.

Sejarah mencatatkan bagaimana Islam itu masuk melalui istana Melaka, istana Terengganu, istana Kedah dan sebagainya. Pengislaman raja telah menyebabkan islam berkembang pesat di jiwa rakyat jelata. Kehadiran para ulama' yang disokong oleh orang istana telah membolehkan kita pada hari ini mengecapi dua nikmat yang dikurniakan iaitu nikmat Islam dan Iman.  Nikmat yang besar ertinya.

Yang dikatakan raja sebagai payung negara adalah simbol bagi menggambarkan kedudukan raja yang tinggi. Ini menggambarkan raja itu sebagai tempat berteduh dan kering buat rakyat jelata. Ketinggian raja dapat dilihat daripada lanskap pemerintahan bangsa Melayu pada zaman Bukit Siguntang lagi. Sang Nila Utama, raja Melayu yang pertama pada ketika itu sangat disegani dan disanjungi pada ketika itu.

Realiti kini penguatkuasaan tentang soal ini dilihat kurang diambil peduli mengakibatkan generasi Y yang celik teknologi sempat mengambil kesempatan di atas kelekaan itu. Masing-masing mengambil mudah. Ayuh kita perkemaskan penguatkuasaan selaras dengan pepatah Melayu :

Gantung biar tinggi,
Tikam biar tembus,
Potong biar putus.

Raja dan rakyat seharusnya menuruti hukum alam iaitu mendoakan dan didoakan. Hukum timbal balik ini perlu dijadikan amalan kerana biasalah jika kita hendak orang menyayangi kita, kita mesti sayang orang terlebih dahulu. 

Bunga kesetiaan kepada raja harus dipelihara dengan sebaik mungkin supaya cabaran yang mendatang dapat ditempuhi dengan jayanya. Jika tidak sejarah mungkin berulang :

Sedangkan Taming Sari ditusuk ke arah saudara sendiri, 
bersemadi tanpa nesan bagi tubuh yang penuh bakti,
Inikan pula darah muda yang marak diapi-api,
Pasti tergadai kelak maruah diri.

Cukuplah setakat itu. Sabtu ini bersamaan dengan 8 haribulan Jun 2013 jam 9 pagi, marilah kita bersama-sama bangun awal dan menyaksikan Majlis Perarakan Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14. Sertailah penghormatan ini demi kesejahteraan negara yang kita cintai. Sekian dari Kayangan.



Comments

Popular posts from this blog

Jeling2 : RH Hotel, Sibu (Rimbunan Hijau Hotel)

Warkah RINDU

Pulau MASUM