Pulau Sastera - Bhgn. 2
Tika Dhuha mulai tenggelam
"Memartabatkan Bahasa dan Sastera Melayu di Persada Dunia"
"Pelangi hilang, hujan tak jadi" itulah ayat pertama yang terpacul dari mulut pembentang ini.
Mauduknya sudah dasyat. Di PERSADA DUNIA. Mampukah ? Ukur baju di badan sendiri. Berkerut dahi HA memikirkan. Bukan semudah yang disangkakan. Penglibatan menyeluruh ditagihkan.
Bicara mauduk dibentangkan oleh A. Rahim Abdullah, pensyarah fakulti penulisan Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebudayaan Malaysia. Katanya, apabila bibir menyebut DUNIA, manusia tidak dapat lari dari GLOBALISASI. Sama ada positif atau negatif globalisasi itu sendiri, bergantung kepada setiap individu. Bagaimana individu melihat kesan globalisasi ini. Realistikkah kita hendak memartabatkan bahasa di persada dunia ??? atau hanya omongan semata.
Pada awal bicaranya, sajak "MELIHAT ALLAH" karya budayawan Perlis dideklamasikan :
MELIHAT ALLAH
Sudah lama tidak membuka tingkap
dulu melihat pelbagai perkara tidak terfahami
sekarang bulan purnama gebu dan cantik
zaman dan kehidupan romantik
hanya denyut kenangan
Di samping bulan purnama, melihat Allah
mungkin kerana faktor usia dan pengalaman
di bawah bulan purnama kelihatan alam indah
jauh di sana bumi di pertarungan manusia dan binatang
Pertarungan manusia di benua, peperangan, kemiskinan
pertarungan binatang dalam hutan, laut dan udara
anehnya bulan purnama diramal rebutan
pelancongan dan perumahan
tamadun yang dicari bergelumang dosa
kemewahan membuta mata
Apakah bezanya Kuala Lumpur, London, Paris dan Moscow
ribuan manusia di sini
ribuan manusia di sana
yang berbeza manhaj hidup
manhaj manusia, manhaj illahi
dari Adam Hawa, hingga ke hari ini,
dan ke akhir zaman.
Melihat Allah, sabda Kun fayakun amat menakjubkan
jatuh bangun, hancur musnah
kekal tidak kekal
Allah tidak mengharapkan apa-apa
daripada makhluk manusia
kecuali sembahlah AKU
AKU sediakan neraka dan syurga
NAHMAR JAMIL
5 Oktober 2011
(Dewan Sastera, Disember 2011 :50)
Pemilihan sajak ini adalah untuk memberi inspirasi kepada penulis untuk terus berkarya seterusnya mengangkat martabat sastera Melayu.
Beliau juga ada menganalisis teks sastera melayu mutahir. Hasilnya beliau tertarik dengan novel Masuk ke Dalam Cahaya (1983) karya SN Abdullah Hussain. Novel ini memperlihat keazaman tinggi penulisnya dalam menerapkan undang-undang Islam. Dalam novel ini digunakan perkataan "kampung cahaya" bagi melambangkan hanya yang terpilih sahaja mampu untuk memasuki kampung tersebut. Penghijrahan diri dan roh merupakan elemen yang diterapkan dalam novel ini.
Beliau juga menyangkal bahawa Perancis mendahului dalam isu berkaitan revolusi. Masyarakat Melayu mendahului jauh lebih awal daripada Revolusi Perancis 1799 (revolusi mogok lapar) 100 tahun lebih awal. Ini dapat dibuktikan daripada ideologi Faisal Tehrani, nama besar dalam arena penulisan, dalam novelnya Saastul Ibaad terbitan Abardeen Book World (2009). FT meletakkan ideologinya dalam perdebatan siasah oleh watak Prof Dr Nazmi yang menegaskan :
"1699 meletakkan Melayu tidak akan layu. Melayu berani membuat pemberontakan. Berani melakukan perubahan dan berani mengajar penindas supaya disanggah..."
FT juga menyatakan pandangan dalam arena politik. Katanya :
"Kalau dipisahkan antara Islam dengan siasah, ibarat memisahkan jantung dengan jasad. Matilah ia"
Semasa sesi pertanyaan, bingkas bangun salah seorang penulis buku "Memahami Politik Menjelang PRU-13" Syarif Shaary, memperkatakan tentang punca bahasa melayu mundur. Salah siapa? pemimpin? rakyat? atau terkena batang hidung sendiri ? Jawapan A. Rahim Abdullah mudah. Semua pihak harus bersatu dalam memartabatkan bahasa.
Lantas Pak Wan Khazim, tokoh pantun perlis mencelah sambil jari telunjuk mencucuk syiling memberi pandangan beliau. "Saya tetap hendak guna bahasa melayu sebagai bahasa negara bukan bahasa kebangsaan" Fahamannya ada lurusnya, jika digunakan istilah bahasa kebangsaan bermakna kita (Melayu) mengiktiraf bahasa melayu merupakan bahasa bersama bangsa lain. "Hilang bahasa, lenyaplah bangsa". Kalimah ini yang dijadikan bekal dalam mempertahankan bahasa MELAYU kita.
sambungan...
Comments