Ramadhan 1434

Subhanaallah. Beberapa hari saja lagi Ramadhan akan beransur pergi meninggalkan kau dan aku. Entah sempat atau tidak kau dan aku untuk bertemu lagi dengan Ramadhan. Semoga ketemu lagi. Sesungguhnya Ramadhan kali ini cukup bererti buat diriku yang masih lagi kekurangan baik dari segi ilmu mahupun pengalaman. Ramadhan yang cukup menguji ketabahan dan kegigihan mencapai cita-cita. Dan syukur hingga saat ini aku masih lagi boleh mengatakan "Aku okey".

Dengan Ramadhan yang masih lagi berbaki, kau dan aku tidak seharusnya menoleh ke belakang bagi meratapi kesedihan itu tetapi kau dan aku harus terus  memandang ke hadapan dan teruskan melangkah walaupun selangkah. Ingat, perjalanan panjang bermula dengan langkah pertama. Andai diri masih berpeluk tubuh, kau dan aku tidak akan ke mana-mana. 

Kehausan Ramadhan kali ini terubat setiap kali anak kecil menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku sebelum pulang dari sekolah. Maha suci Allah. Mulanya kelopak mataku bergenang menikmati keadaan itu. Lantas naluriku bertanya, apakah nasib anak kecil ini ketika mereka sudah dewasa? Aku tidak rela mereka menuruti jejak langkah abang dan kakak mereka. Langkah sumbang yang mulanya dari terbenam matahari sehinggalah subuh menjelang. Aku mungkin kurang faham kerna aku di sekolah cuma sampai tengahari saja. Selebihnya aku tiada bersama mereka.

Ramadhan yang aku kurang berbuka bersama keluarga. Harus cari makan sendiri. Guna duit sendiri. Semuanya sendiri. Jika sebelum ini makanan sudah terhidang di bawah tudung saji tapi kali ini juadah harus dibuka sendiri dari bungkusan. Itu semua ceritera awal Ramadhan, sebelum jadi anak angkat Pak Cik Gangster. Selepasnya, di masjidlah tempatku berbuka, juadahnya macam-macam. Sedap dan yang pasti percuma. Terasa diri amat berharga. Tidak pernah aku pulang tanpa bersendawa terlebih dahulu. Kau dan aku melalui Ramadhan dengan cara tersendiri.

Itulah kisah Ramadhan 1434. Penuh dengan rasa. Lebih hebat dari ikan siakap tiga rasa. Sesedap mana pun juadah akhirnya ke dalam perut juga tempat singgahnya. Cukuplah setakat itu. Ayuh kau dan aku berehat. Banyak lagi tugasan yang perlu disempurnakan dengan segera sebelum Aidilfitri menjengah muka. Hati perlu tabah, jasad perlu disiplin, rohani perlu sentiasa mengingati Allah. Sekian dari kayangan.

Comments

Popular posts from this blog

Jeling2 : RH Hotel, Sibu (Rimbunan Hijau Hotel)

Warkah RINDU

Pulau MASUM