2 Hari Lagi
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang.
2 hari lagi episod praktikum fasa 2 bakal tamat. Dua hari jugalah masa yang berbaki untuk aku menghabiskan sisa-sisa perjuangan praktikum di negeri hijau kuning. Celoteh 15 orang murid dalam satu kelas membuatkan episod praktikum kali meninggalkan kenangan indah buat diriku.
Banyak benda yang aku belajar disini. Darahku darahmu jua. Itulah yang aku rasa. Walaupun jauh dari pandangan, bunga yang diintai alhamdulillah mekar. Disiram tiap-tiap hari walaupun kekadang bunga tidak memerlukan itu. SubhanaAllah.
2 hari lagi aku akan kembali ke kayangan. Negeri yang kecil tapi bahagia. Hari-hari aku menghitung menantikan saat ini. Aku akui makanan di sini murah dan orangnya ramah tapi aku sangat diperlukan untuk berada di sana bukan di sini. Bukan maksudku hendak tidur di bawah tempurung tetapi bagi aku kita perlu memastikan bahawa kita perlu berada pada tempat dan masa yang tepat iaitu tempat yang kita diperlukan dan kita memerlukan.
2 hari lagi aku akan berada di SK Kampong Setar. Sekolah yang comel dan mesra. Sepanjang dua bulan, rasanya tak sampai RM50 ongkos aku mengalir di sini. Tiap-tiap minggu ada kenduri. Ditambah pula jemput-jemput yang sentiasa ada dalam belanga di bilik guru. Membuatkan aku teringin untuk kembali selepas ini.
Tunggu punya tunggu itu kisah 2 hari lagi. Selepas itu, ada perkara baharu yang hendak dilakukan. Mungkin berbeza daripada kebiasaan. Aku pasti itu adalah yang terbaik untuk aku. Aku cuba. Sekian dari kayangan.
Comments